MENCARI GELIGA DALAM
GELITA SIRI 3
Bahagian Ketiga.
14 April Dalam Renungan
Betapa
pantasnya masa berpergian. Satu tahun sudah berlalu, kita masih tidak merasainya, seperti
itu. Ini baru kita duduk-duduk di pejabat, di rumah dan bersembang-sembang di kantin
ataupun di ruang minuman di kantor-kantor. Bagi golongan yang sudah ganyut tentunya masa
yang ada digunakan juga untuk beramal menebus dosa sambil bersembang-sembang di anjung
masjid dan surau menunggukan peredaran masa jua. Apatah lagi agaknya kalau
seseorang itu menginap di sebuah mahligai indah berharga 200 juta ringgit dan berpergian
ke sana-sini dengan satu jet peribadi yang berharga 250 juta ringgit pula. Aduh.....
"Demi masa...." tentu sekali para pembaca yang beragama Islam amat faham akan
awalkata surah ke 103 dalam Alquran. Inlah surah Al-'Ashr (masa) yang terjemahannya:
1.
Demi masa 2. Sesunguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, 3. Kecuali
orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat
menasihat kebenaran dan nasihat menasihati supaya mencapai kesabaran.
Jelas
sekali surah ini menerangkan sifat-sifat orang yang rugi, apabila dia tidak mengisi
waktunya dengan perbuatan baik.
Saya mengambil pedoman daripada surah ini sebagai
ingatan daripada Allah. Memang sejak kebelakangan ini saya mengakui saya banyak membuat
kerja-kerja itu kerana keinsafan jua. Semalam, dalam penulisan saya mungkin para
pembaca dapat merasakan gambaran betapa 'tense' ataupun tegangnya perasaan saya
ketika menulis. Memang, saya menulis dalam keadaan marah dan tertekan tetapi
allhamdulillah masih lagi mampu terus tenang untuk berfikir. Saya amat marah membaca
beberapa berita dan emel yang dikirimkan bertali arus. Hampir semuanya mempunyai
sangkut- paut dengan seorang pemimpin terulung UMNO yang sudah semakin ganyut tetapi tidak
hiraukan masa keemasan yang masih ada di tangannya. Patutlah Anwar Ibrahim kata, "Dia
mahu menongkat dunia..."
Antara Polis dan Keamanan
Apabila
saya mula menulis untuk Gelita 14 ini saya kerap teringatkan arwah ayahanda saya, seorang
anggota polis lepasan perang dunia kedua. Ketika perang dia bertugas di hospital Jepun dan
di sana dia mampu belajar Bahasa Jepun dan beberapa dialek kaum China. Apabila perang
tamat, orang putih ambil dia menganggotai pasukan polis bahagian khas memerangi propaganda
komunis. Dari beliau saya belajar semangat cintakan negara. Dari beliau juga saya belajar
apa ertinya pengorbanan. Dalam hidup saya sebelum beliau meninggal dunia lebih empat
puluh tahun yang lalu saya mungkin merasakan bahang badannya tidak lebih daripada lima
tahun. Dia meninggal ketika saya masih mencecah dua puluh satu tahun. Salah satu ajarannya
yang masih saya ingat ialah "Jangan ambil harta orang, kerana itu adalah
haram...!". Itu merupakan satu pesanan kepada kami turun temurun
dari satu generasi kepada satu generasi yang lain. Kerana itu ajaran yang paling
diutamakan ialah bertaqwa kepada Tuhan.
Disebabkan didikan diterima daripada
seorang bapa yang ketika itu kerap dipanggil sebagai 'Bakul' oleh orang kampung, setiap
kali saya bersua dengan anggota polis, kenangan saya kerap membawa saya kepada kemesaraan
seorang ayah yang amat tegas dalam urusan hariannya. Tetapi kini apabila saya dapat cerita
akan kerakusan polis, amat sukar saya mahu mempercayainya kerana ingatkan pesanan ayah
saya itu.
Hari ini saya menjadi kaget apabila membaca satu berita di akhbar The
Star yang bertajuk: '221 Sacked from Police Force". Eloklah saya terjemahkan lapuran
itu secara spontan:
... "Kuala Lumpur: Sejumlah 221 anggota polis telah
dibuang-kerja daripada pasukan polis dalam tahun 1998. Setengah dari mereka ini adalah
berpangkat lans koporal. Kesalahan yang dilakukan termasuklah 'insubordinasi'
mencemar martabat pasukan. Korupsi dan absen di tempat kerja. Demikian catatan Lapuran
Suruhanjaya Polis, tahun 1998.
" Lapuran yang dibentangkan di parlimen
semalam, telah mencatatkan juga beberapa kes pembunuhan, peras-ugut dan pecah-rumah.
Antara mereka yang berpangkat tinggi yang telah dibuang kerja termaksuklah 3 orang
berpangkat ASP, 6 berpangkat Ketua inspektor, dan 9 inspektor.
" Ketiga-tiga
pegawai berpangkat ASP itu telah ditamatkan perkhidmatannya kerana korupsi, pecah amanah
dan kecuaian menjalankan tugas.
" Terdapat 1957 kes tindakan disiplin ke atas
anggota polis pada tahun yang terbabit. Ini adalah bersamaan 2.46% daripada tenaga
anggota polis. Kadar ini adalah 1% lebih rendah berbanding angka tahun
1977...."
Walaupun banyak kes yang memalukan yang saya terima mengenai pasukan
polis, saya masih percaya pasukan polis adalah satu pasukan yang penting dan telah banyak
berjasa kepada bangsanya. Kerana itu saya amat bangga dilahirkan sebagai seorang anak
polis. Lagipun memang amat ramai ahli keluarga saya yang menjadi anggota polis sejak
pasukan itu ditubuhkan dulu. Pada satu ketika ada lebih dari 30 anggota keluarga kami yang
seperingkat dan seusia dengan bapa saya yang meanggotai pasukan polis dan tentera.
Hampir semuanya sudah pun lama pergi. Kerana itu hampir seluruh keluarga kami telah
terkenal sebagai satu keluarga yang kuat bekerja tanpa banyak kerenah. Hingga kini ramai
golongan tua yang lebih rela menjadi ahli jawatankuasa masjid dan surau daripada
berpolitik.
Tetapi, apabila saya diberitahu akan kelakuan sebilangan anggota polis
yang muda-muda sekarang ini saya kerap terpegun kerana cuba membezakan perangai polis
sebelum merdeka dengan polis selepas merdeka. Apa sudah jadi, tanya saya. Malahan apabila
saya membaca kes mahkamah yang menceritakan kisah Dr. Munawar Anees, saya dihinggapi demam
panas untuk beberapa hari. Begitu juga ketika saya melihat gambar-gambar yang
menunjukkan muka Anwar di laporan Khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Mutalib.
Kini, kisah Azmin di mahkamah mengulang cerita serupa itu kembali. Kisah bagaimana beliau
disuruh telanjang bulat dan kemaluannya diambil gambar oleh pihak polis.
Aduh.......teruknya polis zaman Mahathir ini....demikian keluarnya perkataan daripada
mulut saya sehinggakan cucu saya pun terkejut mendengarnya.
"Kenapa
Wan...?" tanya cucu saya kepada neneknya apabila mendengar suara saya seperti itu.
Isteri saya hanya mampu meletakkan jari telunjuk ke bibirnya sahaja.
Pada satu
ketika dulu memang tidak boleh dibayangkan betapa mulianya jawatan seorang anggota polis.
Ayah saya amat dihormati, walaupun gajinya tidak seberapa. Kalau dia balik ke kampung
berjalan kaki dan ada orang kampung yang berbasikal, waima seorang guru sekolah pun, orang
kampung itu akan turun daripada basikalnya untuk menemani ayah ke rumah. Ayah akan
memimpin tetamunya naik ke berandah sambil menyuruh ibu membuat secangkir teh kosong.
Demikianlah berhemahnya orang Melayu dan hormatnya bangsaku terhadap anggota polis dan juga
askar pada satu ketika dulu.
Ayah saya tidak pernah berkereta ketika
hayatnya. Memadai dengan satu basikal besar cap 'Raleigh' yang ditinggalkannya sebagai
harta pusaka. Dia sudah lama pergi tanpa meninggalkan harta pusaka yang banyak. Yang
paling penting dan paling berharga peninggalannya ialah sikap amanah di tubuh
anak-anaknya. Dia pergi selepas menanggung sakit demam panas yang begitu lama kerana
terlalu lama berada di hutan Pahang. Kerana tugasnya melawan komunis dia berjaya menanam
semangat juang pada anak-anaknya dengan pesanan bahawa "Inilah negara kita. Kalau
kita tidak sanggup berjuang mempertahankannya, siapa yang boleh kita harapkan?"
Itulah pesanannya kepada saya setiap kali kami berkesempatan bermesra. Ini juga pesanannya
kepada hampir semua kawan-kawan saya yang datang ke rumah ketika beliau ada. Kalau beliau
ternampak kawan-kawan bermain di laman dia akan mengajak mereka naik ke rumah untuk dijamu
air kosong dan sekeping dua roti kering benggali. "Belajar-lah
baik,baik...." pesannya selalu. "Kalau kita mahu menjadi satu bangsa yang besar
kita mesti berilmu dulu... Kita mesti tidak lupakan Allah ! Itu sebabnya kita sebut
Hai Ya Alassolah..... dan selepas itu baru kita sebut Hai..ya alal falah......"
Inilah
pesananya selalu kepada anak-anaknya dan kepada rakan-rakan anaknya. Memang beginilah
pesanan orang tua-tua dulu kala di kampung-kampung. Mereka menentukan setiap anak kampung
itu bertaqwa dulu kerana itulah kuncinya kejayaan sesuatu bangsa Melayu itu. Kemudian
mereka beri penekanan kepada usaha mencari ilmu pengetahun kerana itulah kunci mencari
kekayaan.
Apabila kita baca cerita pasukan polis yang begitu kerap dibabitkan
dengan korupsi dan kerja-kerja jijik mengambil gambar kemaluan orang apakah fikiran orang
kampung di mana pegawai polis itu dilahirkan? Apabila kita dengar beberapa pegawai polis
yang memaksa Azmin mengaku diliwat oleh Anwar Ibrahim dan membuat fitnah bahawa Dato Harun
Din gilakan betina, apakah pendapat orang kampung di mana pegawai yang mengugut itu
fikirkan? Apa pula keaiban yang ditanggung oleh anak dan bini para pegawai
yang melakukan ugutan seperti itu? Apa pula bentuk keaiban ahli keluarganya?
Sejak
Anwar dipenjarakan ada juga sekali-sekala kaum keluarga saya berkumpul. Inilah keluarga
yang seangkatan dengan saya yang berpangkat dua-pupu atapun tiga-pupu, kerana kamilah
merupakan zuriat keluarga polis di zaman British dulu. Majoriti kami naik berpelajaran
tinggi kerana usaha gigih sendiri dan bukannya dengan sabsidi kerajaan. Kini ada yang
mempunyai firma guaman sendiri, klinik perubatan, firma perundingan sebagai lambang hidup
bersusah-payah mencari rezeki yang halal. Ramai di anatara kami yang bekerja dulu sambil
belajar sekolah malam ataupun secara pos ketika itu. Maklumlah untuk masuk
universiti belajar undang-undang dan perubatan, peluangnya amat terhad. Di zaman British
anak kampung yang tidak berpengaruh walaupun mendapat Gred Satu akan dihantar masuk
tentera dan polis. Kalau mahu di hantar ke Britain tentunya ke Brinsford dan Kirby untuk
menjadi tenaga pengajar. Sekembali daripada Kirby ataupun Brinsford, ramai di antara
kami yang belajar melalui pos untuk menjadi peguam, akauntan dan apa juga bidang
professional yang boleh memajukan diri sendiri. Pengalaman kami itu menjadi satu
sumber semangat pula kepada keturunan kami dengan ingatan ajaran golongan tua "Jangan
ambil harta orang...Itu haram..." Inilah pedoman hidup kami turun temurun. Ia menjadi
satu amalan. Kami lebih bersedia mengadu kepada Allah daripada mengadu kepada sesama insan
akan penderitaan yang datang menimpa. Kerana itu sudah menjadi pedoman hidup yang diajar
kepada kami sejak kecil lagi.
Bila Yang Haram Menjadi Halal
Ajaran yang
saya pusakai dan turunkan kepada zuriat saya seterusnya adalah lambang ajaran orang Melayu
marhaen di kampung-kampung dan di bandar-bandar. Saya amat percaya selagi ada azan
bekumandang di corong masjid dan surau di negara ini, orang marhaen Islam akan menurunkan
wasiat warisan bangsa ini kepada generasi yang mendatang. Inilah ajaran yang sudah menjadi
satu budaya yang mulia di kalangan orang Melayu.
Akan tetapi, sejak dua puluh tahun
yang lalu, wasiat bangsa yang diamanahkan kepada generasi hari ini sudah semakin pudar
ditelan oleh keadaan. Ia solah-olah sudah menjadi satu budaya yang semakin layak
dirakamkan untuk disimpan di muzium tamaddun Melayu. Semakin ketara kini, kehidupan orang
Melayu itu lebih cenderung menghalalkan beberapa aspek kehidupan yang sepatutnya menjadi
haram.
Kalau memfitnah itu dianggap satu dosa besar, kenapakah amat kerap sangat
kita lihat seorang pemimpin teragung UMNO berbuat demikian hampir setiap kali dia
mengeluarkan mulutnya? Disebabkan dia mahu orang yang mendengar fitnahnya itu mempercayai
akan segala faktor fitnah yang dituturkannya, dia terpaksa berbohong, dan terus berbohong.
Apabila dia mula berbohong, dia tidak akan berjaya menyelamatkan jiwanya yang dicemari
oleh sikap berbohong itu. Akhirnya dia menjadi seorang manusia yang tidak lebih tinggi
maratabatnya daripada seekor syaitan.
Kalau kerja-kerja memfitnah dan berbohong itu
dilakukan seorang diri tanpa membabitkan orang lain, tentulah dosa besar yang
ditanggungnya itu menjadi tanggungjawabnya sendiri. Tetapi, apabila orang lain yang
dikerahnya terbabit sama untuk memperkuatkan kerja jijiknya itu, bukankah dia mempalitkan
dosa besar kepada orang itu yang akhirnya menjerumuskan seluruh ahli kelurga orang yang
terbabit? Terlalu ramai pegawai kerajaan melakukan dosa besar kerana terbabit dengan
kerja jijik yang ditaja oleh Mahathir. Inilah kerja jijik yang digalakkannya untuk
menentukan dia terus berkuasa.
Seekor Kerbau Membawa Lumpur....
Kerja-kerja
jijik menabur fitnah dan kerja-kerja kotor mendera orang untuk memperkuatkan fitnah sudah
menjadi satu kerja nasional kepada majoriti orang kerajaan di negara ini. Tidak kira orang
itu menjadi anggota polis, tentera, kastam, immigresen, tukang masak, tukang ambil
gambar, warder, guru, ustaz, wakil rakyat dan malahan siapa saja yang dapat dicekau
oleh sistem pemerintahan rejim seorang diktator tua yang sungguh hipokrit dalam sejarah
Melayu moden.
Oleh kerana orang Melayu itu pada dasarnya adalah satu bangsa yang
amat patuh kepada golongan tua, setiap arahan yang diterima dari atas dianggap satu
perintah walaupun arahan itu boleh dianggap bercanggah dengan ajaran agama Islam. Di
sinilah letaknya perbezaan pegawai Melayu didikan Melayu di zaman British dengan pegawai
Melayu didikan barat di zaman Mahathir. Melayu generasi dulu sanggup
melanggar perintah orang putih dan raja-raja kalau perintah itu adalah bertentangan dengan
ajaran Allah. Tetapi majoriti melayu di zaman pemerintahan UMNO kendalian Mahathir
akan menganggap perintah kerajaan Mahathir setaraf dengan ajaran Allah. Kerana itu ada
pegawai polis yang sanggup menggambarkan kemaluan seseorang dengan niat orang itu terhina
sehingga sanggup memperakui segala fitnah yang direncana. Inilah jawapan kepada kenyataan
yang dibuat oleh penulis muda daripada Sarang Semut Kedah yang bernama Ab.Jalil Aboo
Backer.... "Apapun satu indakan pembetulan hendaklah dilakukan utnuk mengembalikan
cerita sebenar jasa Dr. Mahathir dan UMNO kepada generasi muda. Dr. Mahathir mungkin
merasakan ia tidak penting. Tapi ia amat penting kepada akidah orang Islam dan survival
UMNO."
Berdasarkan secebis potong ayat seperti di atas kita boleh buat kajian
betapa orang UMNO itu sudah dipukau sehalus-halusnya sehinggakan kepimpinan Mahathir itu
dianggap penting kepada akidah orang Islam dan penyumbang besar kepada keutuhan
UMNO?
Disebabkan proses doktrinasi sedemikian kita lihat Mahathir menjadi angkuh dan
semakin garang. Dia sudah melupakan bahawa usianya sudah tidak dapat menjaminkan
survival kuasanya dalam UMNO, seperti yang dijangka oleh majoriti veteran UMNO. Seperti
kata Tun Ghafar Baba, janganlah ada sesiapa yang cuba perasan akan peranannya dalam UMNO
sedangkan beliau dan beberapa veteran UMNO yang lain sebenarnya memainkan peranan yang
lebih besar daripada Mahathir.
Kalau orang seperti Ghafar Baba dan seangkatan
dengannya tidak memandang jasa Mahathir sebagai penting bagi akidah orang Islam dan
survival UMNO siapakah Ab.Jalil A. Backer yang sanggup menghina minda orang UMNO
seluruhnya? Nampak sangat selagi Mahathir dibenarkan berkuasa dalam UMNO dia akan
merupakan seekor kerbau yang membawa lumpur ke sana-sini dan mempalitkannya kepada badan
sesiapa yang datang bersalam tangannya.
Perjuangan UMNO yang Semakin Menyimpang
Dalam
survival UMNO masa kini kita nampak bagaimana orang muda yang mempunyai didikan yang boleh
dikatakan baik-baik digunakan untuk memutar-belitkan otak dan minda orang Melayu.
Orang seperti Astora Jabat yang sebenarnya tidak mempunyai hak dan lesen untuk mencetuskan
minda orang Melayu berpolitik, sudah diberikan pentas untuk melakukannya kerana dia
difikirkan sesuai untuk menerjah minda orang yang menentang UMNO sekarang. Penulis
seperti Abd. Jalil Aboo Backer nampaknya sudah diberikan mandat mengambil alih tugas yang
pernah dilakukan oleh Bekas Professor dan bukan Dr. Universiti Malaya yang kini sudah
bergelar YB UMNO. Mereka ini diberikan ruang yang luas di Utusan dan juga saluran media
yang lain. Kedua-dua manusia ini kelihatan menjalankan peranan pelapis kepada tugas yang
dijalankan oleh dua tiong peliharaan Jabatan Perdana Menteri - Rais Yatim dan Hamid
Othman.
Di samping itu, untuk memperkuatkan peranan menggenyeh minda orang Melayu
satu proses menguatkuasakan dasar UMNO dalam kehidupan orang Melayu digunakan pula
beberapa kumpulan pegawai polis untuk mengganyang pihak pembangkang. Kalau kita teliti
dengan rapi taktik ini kita akan sedar betapa hampir semua pemimpin muda Barisan
Alternatif mempunyai kes polis yang sengaja diada-adakan. Azmin, Ezam, Roslan,
Zainur Zakaria semua mempunyai masa depan yang perlu dihabiskan di balai polis kalau tidak
di mahkamah. Begitu juga Karpal Singh, Chin Tuan, Zunar dan sebut sahaja beberapa
nama lagi.
Kita tahu semua kerja-kerja jijik yang mengaibkan para pemimpin muda BA
adalah didalangi oleh UMNO terutama sekali oleh pergerakan pemuda UMNO. Yang paling
menjijikkan ialah setiap kali para pemimpin BA ini dihadapkan ke mahkamah gambar mereka
diletakkan di muka hadapan akhbar perdana, seolah-olah mereka ini semua adalah komunis
yang berkurap ataupun penyibar virus terbaru. Soalnya sekarang siapakah yang sebenarnya
patut malu dengan segala berita seperti itu kalau bukan orang Melayu? Di sinilah
timbul satu persoalan lagi, bagaimanakah semua pegawai polis yang terbabit itu sanggup
melakukan kerja-keraja yang membuang masa semata-mata untuk memuaskan tuan-tuan politik
yang lupa daratan itu?
Kalau orang yang menjadi mangsa penderaan pihak polis
itu kena ugut, pihak polis yang menjalankan ugutan itu juga sedang diugut. Mereka terpaksa
menjalankan peranan ugutan itu kerana masa depan mereka sudah diugut. Dengan lain
perkataan, ugut mengugut sudah menjadi satu budaya baru kepada orang Melayu di zaman
Mahathir. Impak budaya baru ini membuatkan orang Melayu dalam UMNO dan juga dalam
perkhidmatan kerajaan menjadi satu kumpulan insan beragama Islam yang hidupnya ketakutan.
Mereka menjadi takut kepaa bayang-bayang Mahathir. Mereka terpaksa menjadi tukang turut
yang setia "agar akidah mereka tidak tersimpang....." Hai, ya Allah... apa
sebenarnya yang sedang berlaku kepada bangsaku....?
Ketaksuban membuta-tuli,
ketakutan dalam tugas sehinggakan sanggup melanggar printah Allah sudah menjadi satu
budaya kerja dan kehidupan orang Melayu. Kerana itu kita lihat ada segelintir penyokong
kuat Anwar dulu sudah sanggup melepaskan pegangan perjuangan dan sumpah setia perjuangan
Islam semata-mata mahu menyelamatkan harta benda yang ditimbun dan dipulun ketika Anwar
berkuasa. Nasib baik, segelintir sahaja gamaknya. Tetapi jumlah yang sebenar masih tidak
kita tahu. Kini, saya percaya majoriti orang Melayu yang menyokong semangat reformasi
tidak pun kenal Anwar dari dekat. Malahan ramai para penulis prolifik di Laman
pro-reformasi tidak pernah bersalam tangan dengannya apatah lagi menerima secangkir kopi
daripadanya.
Alangkah terbalik court perkara ini? Ya.....inilah kebenaran, inilah
kenyataan, inilah gerak keadilan yang datang dari langit....Inilah perjuangan yang
berasaskan nawaitu yang suci murni. Kerana majoriti yang menyokong Anwar kini, tidak
pernah mengharapkan apa-apa daripada perjuangan itu. Mereka hanya mahu negara ini bebas
daripada segala gejala kerakusan dan kekotoran yang dibawa masuk oleh seorang diktator tua
yang memikirkan dia lebih berkuasa daripada Tuhan.
Bila Bala Mula Menjelma
Setiap
insan yang beragama tidak kira apa anutan agamanya, amat faham apa ertinya balasan Tuhan.
'Bala' kepada orang beragama Islam adalah jelas tercatat di bawah bab 'Kadaq dan Qadar'.
Pernah beberapa kali dulu saya mencuit minda akan bala yang mungkin datang silih berganti
sebagai amaran daripada Allah. Saya ingin membawa perhatian pembaca artikel ini kepada
tulisan seorang penulis terkenal bernama M.G. Pillai yang tuisannya akan saya cuba
terjemahkan secara bebas. Saya petik tulisan bertajuk ; Is A Coxsackie Epidemic
About to Hit Kuala Lumpur, yang dipaparkan oleh Laman Reformasi.
"Mungkinkaah
Virus Epidemic Coxsackie Menyerang Kuala Lumpur?
"Sebuah sekolah primari
telah memberitahu para ibubapa betapa seorang anak berumur enam tahun telah disahkan
dijangkiti virus Coxasackie 'A' dan telah dimasukkan ke wad hospital. Guru besar sekolah
itu telah menyarankan agar ibubapa tidak menghantar anak-anak merka bersekolah untuk
sementara. Beberapa anak-anak murid di sekolah rendah yang lain pun telah dijangkiti
virus ini. Oleh kerana murid-murid ini datangnya daripada Kelas menengah dan atasan,
kemungkinan merebaknya virus Coxsackie A menyerang Kuala Lumpur tidak boleh dipandang
sepi. Kalau Kuala Lumpur boleh diserang wabak ini besar kemungkinan ia akan merebak di
kaasan bandar yang lain......."
Inilah fenomena yang amat saya geruni dan
pernah saya sindir para pembaca berdasarkan segala bentuk maksiat yang berleluasa sejak
Mahathir menjadi semakin gila dengan kuasanya. Pelbagai jenis virus dan wabak penyakit dan
pelbagai bentuk bencana alam sudah menyerang negara ini secara silih berganti. Ia bermula
dengan keadaan jerebu satu ketika dulu, diikuti oleh banjir dan keadaan kering kontang.
Kemudian penyakit kuku dan mulut dan JE. Kini Coxsackie A menjelma lagi.
Soalnya
sekarang, kenapakah perkara ini dipengapkan seolah-olah ia tidak berlaku lagi? Bukankah
ini juga caranya kerajaan Mahathir memerap kisah jangkitan JE di Bukit Pelandok dulu.
Bukankah virus sebenarnya dipanggil virus Nipah akhirnya? Kenapakah kita harus terus
ditipu?
Kesimpulan Awal
Memang amat berat kali ini saya menulis kerana saya
mendedahkan rintihan hati saya dan membabitkan segolongan orang Melayu yang memegang tugas
yang amat mulia di hati saya. Inilah tugas seorang Polis yang memang tidak dibenarkan oleh
ayah saya untuk menjawatnya. "Cukuplah tugas itu dipikul oleh keluarga yang
seangkatan denganku" katanya satu masa yang lama dulu. Tetapi, apabila kita baca akan
gelagat para polis yang dikenakan tindakan disiplin saya mula menyoal profession ini.
Sekali gus hati kecil saya tergerak menuding jari ke arah Mahathir. Dia sudah melacurkan
profession ini tanpa disedari oleh para pemegang a manah rakyat ini. Di dalam ilmu
pengurusan ada satu teori yang menyebut "There is no such thing as bad labour, but
there's bad management." Ini berarti pasukan polis itu sudah menjadi demikian
disebabkan kepimpinannya yang lemah. Apakah kerana menyedari hakikat teori ini makanya
Mahahtir melepaskan jawatan Menteri Dalam Negeri kepada Paklah?
Kepada saya, kalau
ada pegawai polis yang menggentel kemaluan Dr. Anees ataupun Anwar ataupun Azmin, mereka
telah lakukan semua itu kerana diugut untuk tidak dinaikkan pangkat ataupun akan
ditukarkan ke tempat lain. Mereka tidak lakukan itu disebabkan taksub terhadap menjalankan
tugas. Saya lebih rela berpendirian mereka lakukan itu kerana diugut untuk memperbaiki
masa depan mereka dalam angkatan polis.
Tetapi dengan kesedaran ini dan dengan
tertulisnya artikel ini saya mahu menjemput para pegawai polis tidak kira dalam bidang apa
mereka bertugas. Saya ingin mengingatkan mereka dengan kata-kata ini:
Dengan nama
Allah SWT dan demi masa; saya mengajak seluruh anggota polis tidak kira apa pangkatnya dan
apa warna kulitnya dan tidak juga kira apa anutan agamanya, marilah kita tegakkan keadilan
dan kembalikan kebenaran dalam budaya hidup kita. Marilah kita tentang cengkaman
permerintah diktator. Marilah kita sama-sama tebus maruah bangsa kita yang tercemar
disebabkan kerakusan seorang diktator tua yang sudah hilang arah. Tebuslah keaiban
tindakan polis di Memali. Tebuslah keaiban tindakan polis terhadap Dr. Anees dan terbuslah
keaiban tindakan polis terhadap Anwar Ibrahim. Tebuslah keaiban yang ditanggungi oleh
orang kita Melayu di masjid negara April yang lalu. Yang lebihnya kita berserah saja
kepada Allah. Lupakanlah arahan Mahathir di April 14 dan 15 ini. Marilah kita sama-sama
mencari kegemilangan geliga di celah-celah kegelitaan itu.
Ingatlah kalau anda
diperintahkan menghayunkan cota ke badan insan yana datang berkumpul secara aman, anda
sebenarnya melanggar hukum hak asasi kemanusiaan. Anda sebenarnya yang memperkecilkan hak
manusia berdemonstrasi seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Ingatlah,
berjuang ke arah kebenaran dan berjuang menjatuhkan pemerintahan regim seorang diktator
adalah satu kemestian dalam hidup setiap insan yang beragama Islam.
Marhaintua@Hotmail.com
...bersambung. 11.4.2000
|